Showing posts with label Billionaire di Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Billionaire di Malaysia. Show all posts

Monday, July 18, 2011

Perlawanan Malaysia dan Liverpool Menarik!

Malaysia gagal menandingi kehebatan pasukan ternama Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, apabila tumpas 3-6 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur. Walaupun kalah, skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal menampilkan aksi terpuji dengan mengekang gerakan Liverpool pada babak pertama dengan keputusan 1-1. Kekalahan 0-4 kepada Arsenal di gelanggang sama tiga hari lalu tidak mematahkan semangat pemain negara untuk memburu kejutan dengan pasukan gergasi EPL itu.

Gol Malaysia dijaringkan menerusi sepakan percuma ketua pasukan Safiq Rahim pada minit ke-42 dan dua jaringan Safee Sali pada babak kedua perlawanan iaitu minit ke-79 dan 81. Liverpool, yang dikenali 'The Reds' mula mengasak sejurus wisel permulaan ditiupkan oleh pengadil Nagor Amir Noor Mohamed dan gerakan lincah pemain tengah England, Andy Carroll membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti setelah dijatuhkan oleh Mohammad Fadhli Mohd Shas. Charlie Adam yang membuat penampilan pertama bersama Liverpool musim ini mengambil tugas itu dan mudah menyepak masuk menewaskan penjaga gol negara Mohd Sharbinee Allawee, dengan disambut sorakan lebih 80,000 peminat setia skuad itu.

Sepanjang 30 minit pertama perlawanan penjaga gol Liverpool tidak langsung dicabar dan bagi skuad negara hanya S. Kunalan, Safiq Rahim dan Abdul Hadi Yahaya yang dilihat mampu memberi sedikit resah kepada pasukan pertahanan lawan. Penguasaan penuh Liverpool dalam perlawanan memaksa Rajagobal membuat pertukaran dengan memasukkan Izzaq Faris Ramlan menggantikan Abdul Hadi yang kurang bermaya dan tindakan itu sedikit sebanyak membantu skuad negara. Pergerakan dan larian lincah gandingan tiga pemain itu di sebelah kiri dan bahagian hadapan memberi sedikit tekanan kepada pemain pertahanan Liverpool dan hasilnya Malaysia berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Safiq Rahim.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia membuat beberapa pertukaran di bahagian pertahanan serta memasukkan penjaga gol utama Khairul Fahmi Che Mat dan pasukan Liverpool dilihat turut membuat keseluruhan pertukaran serta menukar penjaga gol Peter Gulacsi bagi memperkuatkan barisan masing-masing. Dalam keghairahan memburu gol, benteng pertahanan negara dilihat sedikit leka malah kerap membuat kesilapan mudah dan hampir dihukum namun percubaan David Ngog yang membuat larian deras hasil hantaran dari tengah padang sedikit melewati tiang gol pada minit ke-50. Selain penguasaan di bahagian hadapan yang menyeluruh larian deras Ngog di bahagian sayap kanan sering kali mengundang situasi mencemaskan kepada benteng pertahanan Malaysia dan tindakan bijaknya menerima hantaran lintang rakannya Emiliano Insua membuahkan gol kedua akibat berpunca daripada kesilapan tiga pemain pertahanan yang gagal membuang bola.

Safee Sali yang menjaringkan dua gol kelihatan tidak meraikan gol jaringan beliau dengan penonton seperti biasa kerana beliau tidak dapat melihat penonton berbaju biru atau kuning kerana rata-rata penonton memakai jersi Liverpool. Peminat bolasepak Malaysia masih fobia dengan kekalahan dengan Arsenal dan menyangka aksi menentang Liverpool juga tidak banyak beza. Pujian harus diberikan kepada pemain-pemain Malaysia yang dapat menjaringkan gol menentang Liverpool dan gol-gol yang dijaringkan adalah bertaraf dunia dan wajar diberikan pujian.

Thursday, February 17, 2011

Senarai Individu Terkaya Di Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Robert Kuok kekal sebagai individu terkaya di Malaysia dengan memiliki kekayaan sebanyak RM50.04 bilion, demikian menurut tinjauan terbaharu majalah Malaysian Business di sini.

Taikun telekomunikasi, T. Ananda Krishnan pula berada dalam kedudukan semakin selesa apabila berjaya merapatkan jurang kekayaan yang dimiliki bernilai RM45.78 bilion.

Nilai kekayaan Ananda meningkat hampir 70 peratus berikutan pertambahan nilai Maxis dan tindakannya menjadi tiga syarikatnya sebagai syarikat milik persendirian.

Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow pula berada pada kedudukan ketiga sebagai individu terkaya negara dengan kekayaan RM12.77 bilion diikuti Tan Sri Lee Shin Chen, Pengerusi Eksekutif IOI Corporation Bhd. dengan mengumpul kekayaan sebanyak RM12.74 bilion.

Pengerusi Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay kekal ditempat kelima dengan nilai harta RM10.89 bilion dan tempat keenam, Pengerusi Kumpulan Hong Leong, Tan Sri Quek Leng Chan, meningkat daripada kedudukan ketujuh dengan kekayaan RM7.09 bilion.

Satu-satunya individu Bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary pula berada kedudukan ketujuh dengan nilai kekayaan RM8.84 bilion, peningkatan hampir 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Balu Tan Sri Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua pula berada di kedudukan kelapan dengan anggaran kekayaannya RM7.43 bilion.

Tan Sri Tiong Hiew King, Pengerusi Rimbunan Hijau pula ditempat kesembilan dengan memiliki kekayaan sebanyak RM4.77 bilion dan hartawan Singapura, Ong Beng Seng didakwa berada pada kedudukan ke-10 dengan nilai aset RM3.98 bilion.

Beng Seng merampas kedudukan Pengerusi Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent apabila kekayaannya menyusut menyebabkan ia hanya sekadar berada di tempat ke-12.

Sementara itu, senarai individu-individu terkaya menerima tiga nama baru dengan kemasukan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum dan Pengerusi Eksekutif Supermax Corporation Bhd. , Datuk Seri Stanley Thai serta Naib Pengerusi Eksekutif Tan Chong Holdings Bhd., Datuk Tan Heng Chew.

Menurut Malaysian Business, jumlah kekayaan 40 individu terkaya di Malaysia meningkat lebih daripada 30 peratus didorong oleh peningkatan pasaran saham dan peluasan ekonomi.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kekayaan 40 individu itu berdasarkan nilai pegangan saham dalam syarikat-syarikat tersenarai sehingga 21 Januari lalu.

Jumlah kekayaan kesemua individu itu sekarang bernilai RM206.27 bilion sehingga 21 Januari 2011 berbanding RM156.7 bilion tempoh yang sama tahun lalu.

Keseluruhan pertambahan itu adalah seiring dengan kenaikan 20 peratus FBM KLCI sejak tinjauan terakhir.

Tambahnya, tahun ini menyaksikan bilangan individu terkaya lebih banyak iaitu sebanyak 27 orang, bertambah lima daripada 2010.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...