Gerai pemeriksaan paru-paru untuk perokok merupakan antara tarikan
terbaru Karnival Kesihatan Wanita 2012 yang diadakan sempena Perhimpunan
Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pengerusi
Sekretariat Kebajikan Wanita Umno Datuk Hasnah Salam berkata ia
merupakan sebahagian langkah untuk menjayakan kempen JOM Tak Nak
Merokok! bagi mewujudkan persekitaran bebas asap rokok.
"Kita
galakkan mereka yang mahu berhenti merokok atau pun perokok tegar
datang buat pemeriksaan di gerai ini untuk tahu keadaan kesihatan
paru-paru mereka," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Hasnah
berkata turut diadakan ialah saringan kesihatan, pemeriksaan kanser
payudara, pengesanan kanser pangkal rahim serta pendaftaran penderma
organ dan semuanya adalah percuma. Karnival Kesihatan itu
yang diadakan di Aras 3, PWTC dijangka dirasmikan Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.
Seramai 3,000 orang
disasar mengunjungi karnival itu yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5
petang, berbanding 2,500 pada penganjuran tahun lepas. Sementara
itu kaunselor berdaftar Klinik Berhenti Merokok, Klinik Kesihatan
Tanglin, Swinder Jit Jag Singh berkata ujian asap rokok atau ujian
paru-paru dibuat menggunakan alat dikenali sebagai 'CoPPM'.
Beliau
berkata perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok digalak ke klinik
berkenaan yang bukan sahaja menawarkan pemeriksaan percuma, malah
terapi gantian nikotin (NRT) seperi gam NRT, penyedut NRT dan penampal
NRT juga diberi percuma. Turut diadakan adalah Terapi
1Malaysia yang merupakan satu alternatif untuk mengesan dan merawat
masalah kesihatan yang dihidapi seperti kencing manis dan darah tinggi.
Konsultannnya
Mohd Dzulhaidi Mohd Daud berkata Terapi 1Malaysia yang dibawa khas oleh
Yayasan Angin Ahmar Melaka adalah percuma.
Sumber - Bernama
0 comments:
Post a Comment