Showing posts with label Piala AFF Suzuki. Show all posts
Showing posts with label Piala AFF Suzuki. Show all posts

Friday, December 31, 2010

Skuad Harimau Malaya Mendapat Sokongan Kerajaan

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat supaya terus bersama-sama menyokong ahli sukan negara dengan rasa bangga. Perdana Menteri berkata, sokongan itu bukan sahaja pada waktu ahli sukan berkenaan mencapai kemenangan tetapi ketika mereka berhadapan dengan kekecewaan.

"Kita harus terus menyokong ahli sukan negara, baik lelaki mahupun wanita ketika mereka sangat-sangat memerlukan sokongan," katanya dalam entri terbaru bertajuk Syabas Harimau Malaysia dalam blognya www.1malaysia.com.my hari ini.

Beliau mengulas kejayaan pasukan bola sepak Malaysia menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam, sekali gus mengakhiri penantian negara selama 14 tahun untuk memenangi piala itu. Dalam pada itu, Najib menyifatkan tahun ini begitu sukar dilupakan bagi sukan Malaysia berikutan kejayaan yang begitu sukar dicapai dalam permainan bola sepak.
"Kita juga telah menikmati beberapa kejayaan penting dalam bidang sukan pada tahun ini termasuk pencapaian cemerlang dalam Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia di Guangzhou," katanya.
Mengulas kejayaan pasukan bola sepak negara, beliau berkata, semangat 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan telah dipamerkan dengan penuh kebanggaan oleh semua pihak.
"Ia bukan sahaja dipamerkan oleh para pemain di gelanggang, malah oleh jutaan penyokong yang telah memberikan sorakan semangat untuk pasukan Malaysia menempa kejayaan," katanya.
Menurut Najib, pada 12 hari lalu, beliau turut berkesempatan meluangkan masa duduk bersama-sama rakyat di Jalan Bukit Bintang di sini untuk menonton pasukan Malaysia menentang Vietnam.
"Ketika itu saya yang bukan hanya sebagai Perdana Menteri, tetapi juga seorang peminat sukan tersebut merasakan bahawa kita akan menyaksikan satu pencapaian dan perubahan besar kepada bola sepak Malaysia.
"Ini telah disahkan oleh barisan pemain muda, pasukan bola sepak Malaysia malam tadi, yang kini juara Piala Suzuki.
"Pemain-pemain kita telah mempamerkan bahawa disiplin, kerja berpasukan dan kegigihan merupakan ramuan untuk mencapai kejayaan.
"Jika kita terus berusaha berteraskan semua nilai ini, kita mampu melonjakkan bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berharap rakyat akan bergembira menikmati cuti umum esok.
"Ini untuk meraikan kejayaan kita dan seterusnya menyambut ketibaan tahun baru yang diharapkan akan lebih berjaya," katanya.

Thursday, December 2, 2010

Piala AFF Suzuki 2010 Malaysia Tunduk 5-1 Kepada Indonesia

KUALA LUMPUR - Lawan terlalu hebat atau kalah atas kesilapan sendiri? Apa jua jawapannya, para peminat bola sepak Malaysia harus menelan kepahitan apabila maruah skuad negara dicarik-carik di bumi Jakarta apabila dibelasah 1-5 oleh Indonesia pada perlawanan pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.
Malah risiko jurulatih, K. Rajagobal menurunkan Sharbinee Allawee selaku penjaga gol utama negara mengenepikan Khairul Fahmi Che Mat serta menggunakan khidmat dua pertahanan Harimau Muda, Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas di dalam kesebelasan utama jelas memakan diri sendiri.
Itulah yang terjadi sebaik wisel permainan dimulakan apabila tuan rumah yang bersemangat mahu memburu kemenangan awal-awal lagi sudah memberi amaran melalui gerakan awang import Uruguay, Cristian Gonzales dan Irfan Bachdim.
Indonesia hampir di hadapan pada minit ke-2 melalui Gonzales yang berjaya melepaskan percubaan tepat ke arah pintu gol Malaysia, namun mujur Sharbinee Allawee tangkas menafikan hajat tuan rumah untuk mendapatkan gol awal.
Bagaimanapun, Harimau Malaya terlebih dahulu mengambil giliran mengejutkan tuan rumah melalui gol pendahuluan pada minit ke-18 menerusi gerakan mantap yang dipamerkan oleh Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.
Melalui dari arah sebelah kiri, Safee bijak meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Indonesia untuk melorongkan bola kepada Norshahrul Idlan Talaha yang tidak dikawal bagi meletakkan Malaysia di hadapan.
Walaupun begitu, gol itu yang diharapkan mampu menyuntik semangat perjuangan Malaysia ternyata meleset sebaliknya membuatkan lawan bangkit memberikan tentangan dan hasilnya skuad Garuda berjaya memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-22.
Hantaran lintang daripada sebelah kiri berjaya disambung oleh Irfan sebelum bola tersebut melantun mengenai Sharbinee dan Asraruddin Putra Omar tersepak masuk ke dalam gawang sendiri.
Episod malang Malaysia berterusan 10 minit kemudian, kali ini giliran Gonzales yang mudah melepasi kawalan pemain negara, Mohd. Muslim Ahmad sebelum melakukan rembatan mengelirukan Sharbinee bagi meletakkan Indonesia di hadapan buat kali pertama dalam perlawanan.
Kedudukan 2-1 kekal di separuh masa pertama sebelum Indonesia terus mengganas pada baki 45 minit permainan dan anak-anak buah K. Rajagobal kian layu pada saingan babak kedua.
Ketika kebangkitan diharapkan, Indonesia terus mengendurkan semangat pemain Malaysia menerusi gerakan menarik pemain bek kanan, Muhammad Ridwan yang bijak melepasi kawalan Muslim dan Fadhli sebelum tenang menewaskan Sharbinee yang keseorangan di pintu gol.
Terdesak melihat kedudukan semakin kritikal, Rajagobal memasukkan Ashari Samsudin dan Amar Rohidan menggantikan Amri Yahyah dan Mohd. Razman Roslan pada minit ke-63 tetapi ia tidak mengubah banyak corak permainan Malaysia.
Asrarudin yang dilihat antara pemain paling banyak melakukan kesilapan di kubu negara bermurah hati memberikan gol keempat kepada Indonesia selepas gagal mengeluarkan bola bahaya di dalam kotak penalti dan Arif Suryono pantas menyambar peluang terhidang bagi membunuh api perjuangan pemain Harimau Malaya.
Pemain berdarah kacukan Belanda dan Indonesia, Irfan Bachdim memulakan pesta gemilang buat penyokong Indonesia dengan gol kelima pada masa kecederaan hasil hantaran bola lintang berbahaya Oktovianus Maniani bagi menyimpulkan malam derita buat bola sepak Malaysia.

Sumber: utusan.com.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...