Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

Monday, January 3, 2011

Shuhaimi Shafiei Hasut Rakyat Menentang Institusi Beraja

SHAH ALAM 2 Jan. - UMNO Selangor mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei ekoran kenyataan yang didakwa menghasut rakyat menentang institusi beraja di negeri ini. Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus dikenakan terhadap wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana kenyataannya yang dibimbangi boleh menggugat sistem pentadbiran dan keselamatan negara.

Katanya, negara ini mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kedudukan sultan atau raja diiktiraf sebagai ketua bagi sesebuah negeri. Justeru beliau menegaskan, sebarang kenyataan atau tindakan oleh mana-mana individu yang mempertikaikan kedudukan serta bidang kuasa institusi itu merupakan satu pengkhianatan terhadap prinsip-prinsip Perlembagaan apatah lagi mengajak rakyat menentang asas perundangan negara.

"Kita memandang serius perkara tersebut atas dasar menjaga kedudukan Perlembagaan serta keselamatan negara ini. Tindakan Shuhaimi seolah-olah mahu mewujudkan fahaman anarki dalam masyarakat khususnya di Selangor.
"Ini amat membimbangkan dan kita mahu KDN mengambil tindakan tegas terhadapnya termasuklah ISA sekiranya perlu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 31 Disember lalu, Shuhaimi menerusi laman blognya, http://srimuda.blogspot.com didakwa terang-terangan menentang keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenankan pelantikan Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Menurut Shuhaimi, pelantikan jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.

Malah, Shuhaimi menerusi kenyataan di dalam laman blog berkenaan seolah-olah turut memberikan amaran kepada institusi beraja Selangor supaya tidak berterusan bertindak membelakangkan MMKN atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana. Tidak cukup dengan itu, wakil rakyat PKR itu turut menyatakan kononnya rakyat akan menolak sebarang tindakan "Beraja di mata, bersultan di hati" oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh "raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja".

Tuesday, November 9, 2010

Zaid Ibrahim Keluar PKR, Lepas Semua Jawatan

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Datuk Zaid Ibrahim hari ini menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kecewa dengan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung. Beliau yang merupakan pencabar terkuat kepada Azmin Ali iaitu ‘anak emas’ Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan itu turut melepaskan semua jawatannya dalam PKR walaupun baru satu pertiga cabang parti itu mengadakan pemilihan.

Bagaimanapun, Zaid menegaskan beliau tidak akan meninggalkan pembangkang dan akan terus bercakap serta memperjuangkan isu rakyat bagi memastikan masyarakat mendapat kerajaan yang lebih baik. Dalam PKR, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Pusat dan Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan selain bertindak sebagai penyelaras bagi pakatan pembangkang.

“Saya menarik diri sebagai calon daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden. Saya juga melepaskan semua jawatan dalam parti kerana pucuk pimpinan secara aktif membenarkan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti berlaku. “Keputusan ini diambil kerana tiada usaha pucuk pimpinan parti untuk menangani manipulasi; amalan tidak adil serta penyelewengan dalam pemilihan meskipun ia telah dibangkitkan berulang kali,” kata beliau dalam blog http://www.zaiduntukrakyat.com, hari ini.

Dakwaan penyelewengan dalam pemilihan PKR semakin bertiup kencang apabila beberapa kali keputusan pengundian yang sebelum ini menunjukkan Zaid mendahului Azmin terpaksa diubah oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail atas alasan silap kiraan. Kemudian, seorang lagi calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub, juga mendesak supaya Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) digantung dan proses pemilihan parti ditangguh sehingga tindakan proaktif diambil bagi membaiki segala penyelewengan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada 87 cabang yang telah mengadakan pemilihan, Azmin kini jauh mendahului dengan majoriti 2,620 undi selepas mengumpul 6,525 undi, Zaid mendapat 3,905 undi manakala Mustaffa pula sekadar meraih 1,215 undi. Mengulas lanjut, Zaid berkata, beliau tidak boleh meneruskan perjuangan dalam pemilihan yang cacat kerana yakin, parti politik yang mengamalkan nilai-nilai palsu dan hipokrit tidak mampu menawarkan sebarang pembaharuan bermakna kepada rakyat.

“Saya menyertai PKR atas kepercayaan saya boleh mengembangkan budaya politik berprinsip yang saya anggap dapat membangunkan demokrasi dan tadbir urus yang baik di negara ini, tetapi saya sebenarnya tersilap. “Saya berharap peminat Anwar tidak lagi menganggap saya sebagai ‘spoiler’ (pengacau) yang akan menghalang usaha mereka ke Putrajaya. Saya ucapkan maju jaya kepada mereka,” katanya.

Sumber: UTUSAN

Monday, October 18, 2010

Wakil PKR Hantar Memorandum Taubat Kepada Anwar

PETALING JAYA 16 Okt. – Tiga wakil Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menghantar ‘memorandum taubat’ kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu segera bertaubat. Memorandum satu muka surat itu dihantar oleh 60 ahli dari tiga cabang parti yang terdiri daripada wakil Perak serta Pulau Pinang (Butterworth dan Bayan Baru), di ibu pejabat parti tersebut di sini, pukul 11.30 pagi.


  • 60 ahli dari tiga Cabang PKR semalam menghantar ‘Memorandum Taubat’ kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera bertaubat demi menjaga martabat perjuangan parti.

  • Datuk Zaid Ibrahim sahkan akan bertanding Timbalan Presiden PKR kerana kasihankan parti yang nampak tidak begitu kuat dan dilanda pelbagai masalah.

  • Datuk Dr. Jeffrey Kitingan menolak mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR.

  • Ketua Cabang PKR Kuala Langat, Abdul Razak Halidi mendakwa Saifudin Nasution berbohong semasa menuduh UMNO punca kekecohan pada pemilihan cabang itu.



  • Wakil kumpulan itu, Nor Hilmi Ismail dari PKR Bayan Baru berkata, antara tujuan memorandum tersebut dihantar adalah berkaitan dengan kes yang melibatkan Anwar di mahkamah. Katanya, ia bagi mendesak Anwar bertaubat segera demi menjaga martabat perjuangan parti berkenaan.

    “Kes-kes mahkamah melibatkan Anwar dilihat merosakkan perjuangan parti.
    “Oleh itu, jika Anwar enggan bertaubat selepas pelbagai pendedahan mengenainya dibongkar, lebih separuh daripada ahli parti mendesak beliau meletakkan jawatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

    Jelas Nor Hilmi, semua ahli parti memerlukan pemimpin yang dapat memberi sepenuh perhatian terhadap perjuangan parti dan bukan sebaliknya, iaitu hanya tertumpu kepada isu-isu peribadi.

    “Kami tidak mahu pemimpin menggunakan dan berselindung di sebalik parti untuk mengelakkan diri daripada tindakan undang-undang,” katanya.

    ‘Memorandum taubat’ itu diberikan kepada wakil Petugas Pemilihan PKR 2010, Raou Imran untuk  diserahkan kepada Anwar. Jelas Hilmi, memorandum itu turut mendesak Anwar agar dapat memberi sepenuh tumpuan dan perhatian terhadap memperkasakan parti bagi meneruskan kesinambungan PKR untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

    Sumber: UTUSAN

    Saturday, October 9, 2010

    Rahimi Menjelaskan Kontroversi Tandatangani Akuan Sumpah

    SHAH ALAM 8 Okt. - Selepas membuat laporan polis Rabu lalu berkaitan dakwaan dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah pada 2008 termasuk membabitkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas setiausaha sulit Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut, Muhamad Rahimi Osman hari ini tampil menjelaskan mengenai tindakannya itu.
    Satu lagi akuan bersumpah yang didakwanya telah dipaksa ditandatangani adalah melibatkan kes fitnah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
    Berikut adalah teks penuh penjelasan beliau yang dihantar menerusi e-mel kepada media di sini:
    1. Mengapa perlu ada gangguan ketika saya hendak bercakap di sidang media? Kenapa ada pihak yang takut dengan apa yang saya nak cakap? Mereka boleh buat sidang akhbar, tiada siapa yang nak ganggu. Kalau saya diberi peluang pun saya tak akan ganggu, itu hak mereka untuk mengatakan apa yang mereka mahu. Tapi bila saya nak buat sidang akhbar, saya telah diganggu? Mana kebebasan bersuara yang diperjuangkan oleh PKR selama ini? Walau bagaimanapun, saya tidak ingin menuduh mana-mana pihak sebagai dalang insiden buruk yang berlaku kelmarin.
    2. Saya juga amat gembira dan berbangga, masih ada lagi pemimpin PKR seperti Datuk Zaid Ibrahim yang benar-benar mendokong perjuangan parti. Zaid bersikap lebih terbuka dan menghormati undang-undang dan hak saya sebagai rakyat Malaysia. Sikap inilah yang harus dipegang oleh pemimpin PKR dan juga ahli jika mahu PKR maju ke hadapan dan digeruni. Bukannya tak habis-habis menuduh orang yang tidak bersetuju dengan mereka, dibayar dan dibeli. Setiap manusia mempunyai maruah diri, bukan mudah semua orang nak dibayar dan dibeli. Anwar bukan maksum, begitu juga dengan pemimpin yang lain. Maka, sesiapa sahaja berhak untuk mengkritik atau menegakkan kebenaran. Saya tidak mempunyai sebarang niat jahat atau dendam kepada PKR dan ahli-ahlinya. Dan saya masih lagi memegang kuat dan menghormati perjuangan parti.
    3. Saya juga berpendapat, jika benar dakwaan mereka bahawa orang yang membuat kacau sewaktu sidang media itu bukan dihantar oleh mereka, maka PKR sebagai sebuah parti yang mendokong kebenaran, hak asasi, kebebasan bersuara dan keadilan harus mengambil tindakan kepada ahli-ahli parti yang bertindak seperti itu. Ini memandangkan ada pihak yang melaporkan salah seorang dari mereka yang membuat kacau adalah calon Naib Presiden PKR.
    4. Saya tidak boleh mendedahkan kandungan SD (akuan bersumpah) terbaru yang saya buat, saya tidak mahu menganggu perjalanan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah. Cuma yang saya nak tekankan di sini, saya langsung tidak mempunyai hak untuk mengatakan sama ada Anwar bersalah atau Saiful membuat tuduhan palsu. Bagi saya, sehingga keputusan mahkamah dibuat, masih tiada pihak yang boleh dituduh bersalah.
    5. Saya tidak berminat untuk sebarang permainan atau percaturan politik mana-mana pihak. Saya cuma membuat laporan ini bagi membetulkan kesilapan yang pernah berlaku dahulu. Saya juga risau jika akuan bersumpah yang saya buat sebelum ini akan digunakan untuk memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri. Baik atau buruk Perdana Menteri, kita tidak boleh menuduh apa yang dia tidak lakukan. Kita tidak boleh menuduh seorang yang baik seperti imam contohnya, melakukan sesuatu yang tidak dilakukan, begitu juga kalau seorang pencuri, walaupun dia pencuri, tetapi dia tidak merogol, maka kita tidak boleh menuduh dia merogol.
    6. Saya mengaku bahawa saya mengambil masa yang lama untuk membuat laporan. Ini kerana pertamanya, saya menunggu keputusan kes rayuan Anwar bagi menggugurkan kes beliau yang mana keputusannya baru sahaja dapat baru-baru ini. Keduanya, saya mengambil masa yang lama untuk memikirkan perkara ini memandangkan keadaan huru-hara dan ancaman yang akan saya terima daripada pelbagai pihak. Ketiganya, apabila saya diberitahu oleh Latheefa Koya (peguam) pada beberapa bulan lalu bahawa SD sebelum ini telah hilang dan dia meminta saya untuk menandatangani SD yang baru, saya mengambil peluang ini untuk tidak mengulangi perkara dahulu.
    7. Saya juga menghormati hak mana-mana pihak yang ingin mengemukakan saman kepada saya. Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi, maka setiap rakyat mempunyai hak itu. Saya bersedia untuk memberi kerjasama dan bercakap benar.
    8. Saya harap, apa yang saya lakukan boleh memberikan keadilan kepada semua pihak. Dan saya tidak mahu isu ini terus menjadi alat politik mana-mana pihak.

    Sumber: UTUSAN
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...