Wednesday, May 9, 2012

Pemenang Hadiah Utama ABPBH 2011 Seorang Penjual Kuih

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Hanya sekali mencuba, dia muncul sebagai pemenang hadiah utama Peraduan Undi dan Menang, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011).

Di atas kejayaannya itu, Nor Aini Khalip, 31, membawa pulang sebuah kereta Nissan Livina X-Gear 1.6(A) tajaan Edaran Tan Chong Motors bernilai RM79,894.50. Berasal dari Hutan Melintang, Perak, kemenangan itu tidak pernah dijangka ibu kepada tiga cahaya mata yang juga seorang penjual kuih.

“Menyertai peraduan ini, tujuan utamanya sudah tentu saya berharap untuk menang. Kalau bukan hadiah utama pun tidak mengapa, tapi andai kata dapat yang besar lagi bagus.

“Terus-terang saya seperti orang bermimpi. Saya tidak pernah jangka memperoleh semua ini kerana saya baru kali pertama mencuba nasib dalam Peraduan Undi dan Menang ABPBH. Saya sangat bersyukur atas rezeki yang diberi oleh-Nya,” katanya.

Akui Nor Aini, sewaktu dihubungi penganjur yang memaklumkan kemenangan dia meloncat-loncat kegembiraan kerana tidak percaya. Tambahan pula, dia sudah lama memasang angan untuk memiliki kereta baru memandang kereta yang dipunyai ketika ini teramat uzur.

“Hendak beli kenderaan bukan senang, apatah lagi saya bekerja sebagai penjual kuih manakala suami pula cuma seorang pemasang wayar. Anak ada tiga orang, bila ada duit lebih sikit terpaksa ketepikan niat kerana harus utamakan mana yang perlu.

“Alhamdulillah, Tuhan mendengar suara saya dan dengan adanya kereta ini bolehlah saya bergerak dan menggunakannya untuk berniaga,” katanya yang masih kelihatan seperti orang bermimpi.

Jangka hayat ABPBH pada penganjuran tahun ini melewati usia 25 tahun, tetapi mengapa baru sekarang Nor Aini mencubanya? Menjawab pertanyaan itu, dia berkata, keinginan untuk mencuba datang secara tiba-tiba.

“Keluarga, adik-beradik dan kawan-kawanlah yang mendorong dan membantu saya mencuba peraduan ini. Mungkin mereka tahu saya hasrat hati saya untuk membeli kereta. Berkat bantuan mereka juga, saya memberanikan diri untuk mencuba.

“Sebanyak 20 borang penyertaan dihantar dan memang tidak sangka percubaan pertama ini membawa tuah pada saya. Saya juga tidak bercadang menjualnya dan seperti dimaklumkan tadi, mahu menggunakan kenderaan ini untuk berniaga,”
katanya yang tiba di Kuala Lumpur sebelah pagi kelmarin dengan menaiki bas sebelum dijemput oleh abangnya untuk ke Majlis Penyampaian ABPBH2011 yang berlangsung di Holiday Villa, Subang Jaya, pada sebelah petangnya.

Sumber : Harian metro

1 comments:

Adzrien Shoppe said...

alhamdulillah... rezeki dia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...