Wednesday, May 9, 2012

Masalah PATI di Sabah Tidak Disiarkan Di Akhbar Menimbulkan Persoalan

DAP membangkitkan persoalan kenapa laporan berhubung penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah tidak disiarkan dalam akhbar negeri itu hari ini.

Sedangkan, menurut ketua anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang, ia wajib disiarkan di halaman depan akhbar di negeri di bawah bayu itu.

"Hakikatnya, berita ini langsung tidak mendapat liputan dalam semua media arus perdana Malaysia dan semua media cetak yang diterjemahkan dalam bahasa yang lain...," katanya dengan mengecualikan The Sun dan beberapa media dalam  talian, termasuk Malaysiakini.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim juga mempersoalkan tindakan agensi berita nasional Bernama menarik balik laporannya yang memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, berkaitan RCI beberapa jam selepas disiarkan.

"Adakah Bernama berhak untuk memadamkan berita berkenaan jawapan Nazri di Parlimen, walaupun Nazri telah memperdayakan dan tidak bercakap benar di Parlimen?" dakwa Lim yang juga anggota parlimen Ipoh Timor.

Bernama dalam nota kepada editor semalam menarik balik laporannya berkaitan RCI melalui arahan berbunyi: "Sila abaikan berita bertajuk NAZRI-RCI yang dihantar sebelum ini. Berita baru akan menyusul."

Laporan yang ditarik balik itu antaranya memetik Nazri sebagai berkata, kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat masalah PATI di Sabah pada 8 Februari tahun ini dan proses menyediakan terma rujukannya sudah bermula.

Beliau dilapokan berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Paul Kong Sing Chu (BN-MCA) yang ingin tahu status terkini RCI yang menurutnya amat dinantikan di Sabah tetapi belum diumumkan sehingga kini.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...