Wednesday, December 1, 2010

Produk Takaful Semakin Berkembang Di Malaysia

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Produk takaful keluarga di Malaysia dijangka terus berkembang pada kadar 15 peratus tahun ini didorong oleh peningkatan sentimen pengguna dan kekuatan produk itu sendiri.
Pasaran takaful di Malaysia dan beberapa negara lain, secara amnya amat menarik kerana 65 peratus daripada produknya dibeli oleh orang bukan Islam, kata Dr. Manfred J. Dirrheimer, Pengerusi FWU AG yang merupakan peneraju perniagaan takaful dunia.
Beliau berkata, ini menunjukkan produk takaful itu mampu dijual, bukan kerana kepercayaan agama sahaja tetapi sebaliknya kerana ia mempunyai struktur yang kukuh dan menguntungkan.
Dirrheimer berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk 'Meneroka Potensi di dalam Insurans Hayat/ Perniagaan Takaful Keluarga sempena Konvensyen Pelaburan Syariah Antarabangsa' di sini hari ini.
''Pengguna sebenarnya melihat kepada kelebihan dan ketelusan sesuatu produk sebelum membuat sebarang keputusan dan faktor inilah yang menjadi kekuatan kepada produk takaful,'' katanya.
Dirrheimer juga meramalkan industri takaful global secara keseluruhan akan berkembang lima kali ganda dalam tempoh 10-15 tahun akan datang.
Beliau meramalkan pertumbuhan lebih besar bagi pasaran Arab Saudi iaitu sebanyak 40 hingga 50 peratus manakala Emiriah Arab Bersatu pada sekitar 30 peratus.
Dirrheimer juga menjelaskan, produk takaful keluarga mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding produk konvensional.
''Terdapat perubahan berbanding tiga atau empat tahun lalu dan jika dilihat penguasaan pasaran produk insurans keluarga semakin kehilangan penguasaan pasaran.
"Ini kerana produk-produk takaful keluarga kini lebih kompetitif dan mendapat permintaan," tambah beliau.

Sumber: utusan.com.my

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...