Tuesday, November 16, 2010

Wushu Sumbang Emas Pertama di Sukan Asia Guangzhou 2010

GUANGZHOU - Kontinjen Malaysia semakin rancak meneruskan buruan pingat pada Sukan Asia XVI selepas wushu menjulang emas pertama negara pada hari keempat temasya, semalam, beberapa jam selepas biliard menyumbang pingat perak. Sehingga malam semalam, Malaysia menduduki tangga kelapan senarai pungutan pingat selepas menembak, wushu dan ekuestrian masing-masing menokok pingat gangsa. Di Gimnasium Nansha, Chai Fong Ying meneruskan kecemerlangan mempertahankan emas yang dimenangi di temasya Doha 2006 dengan menenggelamkan 11 lawannya termasuk jaguh dari Jepun dan Taiwan dalam kombinasi Taijiquan dan Taijijian.

Fong Ying, 24, menyempurnakan keseluruhan dua disiplin dalam kombinasi itu dengan mengumpul 19.36 mata, menewaskan saingan sengit atlet Jepun, Miyaoka Ai yang mendapat 19.34 mata dan pemenang gangsa dari Taiwan, Wen Ching Ni yang mengutip 19.33 mata. Sementara itu, kemarau pingat dalam acara biliard sejak sekian lama pada temasya ini, berakhir petang semalam apabila Ibrahim Amir memungut pingat perak pertama negara dalam acara 8 Ball Pool individu selepas tewas kepada lawannya dari Taiwan, Kuo Po-Cheng 4-7. Ibrahim bagaimanapun masih berpeluang memburu emas dalam acara 9 Ball Pool, selepas ini.
Dalam pada itu, kem akuatik negara turut berkongsi gembira atas kejayaan Khoo Chai Lin yang buat pertama kali melayakkan diri ke perlumbaan akhir 400 meter gaya bebas wanita selepas Nurul Huda Abdullah melakukannya pada Temasya Seoul 1986.

Turut meletakkan wakil negara ke saingan acara renang adalah rangkaian 4x200m gaya bebas lelaki. Dua rekod baru kebangsaan turut dicipta di Pusat Akuatik Aoti menerusi Chan Yan Cheat yang beraksi dalam 50m kuak lentang wanita dengan catatan 30.15 saat mengatasi rekod lama yang dibuatnya pada Sukan Komanwel Delhi, bulan lalu.Satu lagi rekod baru kebangsaan menerusi rangkaian 4x200m gaya bebas lelaki dengan catatan tujuh minit, 35.66s mengatasi rekod lama 7:36.89s pada Sukan SEA 2009 di Laos. Saingan berbasikal trek juga tidak menghampakan apabila pelumba sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang menempatkan diri dalam separuh akhir 200m pecut lelaki selepas mengetepikan cabaran pelumba Iran, Hassanali Varposhti dalam dua saingan awal.

Bagaimanapun Fatehah Mustapa gagal mara apabila ketinggalan dua kali kepada lawannya dari Korea Selatan, Kim Wongyeong dalam acara 200m pecut wanita di Velodrome Guangzhou. Azizulhasni yang akan bertarung dalam acara keirin dalam saingan kelayakan hari ini, turut berdepan ujian besar dalam perlumbaan separuh akhir 200m pecut pada hari yang sama. Turut mempertaruhkan nasib dalam acara kelayakan keirin, hari ini ialah pemenang pingat emas Sukan Komanwel Delhi, Josiah Ng yang sebelum ini kecundang dalam saingan pecut berpasukan

Sumber: www.utusan.com.my

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...