Wednesday, May 9, 2012

Masalah Penduduk Pangsapuri Impian Meru Dapat Perhatian

KLANG: Penduduk Pangsapuri Impian Meru, di sini, boleh menarik nafas lega apabila Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersetuju menyelesaikan tuntutan berhubung beberapa masalah di tempat tinggal mereka itu. Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz berkata, dua tuntutan penduduk ialah masalah jalan raya dan longkang yang rosak diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurutnya, mengenai isu Sijil Layak Menduduki (CF) pula, ia akan dipanjangkan kepada pihak berwajib termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai pihak berwajib.

“Kerjasama semua pihak mampu menyelesaikan kemelut yang berlaku dan MPK akan mengambil tindakan seperti dibincangkan sebelum ini dalam masa terdekat.

“Kami akan bincangkan isu ini secara teliti dalam Mesyuarat Aduan yang dihadiri agensi lain yang berkaitan dengan kelulusan CF dan infrastruktur seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Indah Water Konsortium (IWK) serta beberapa jabatan lain,” katanya ketika menghadiri sesi dialog bersama penduduk, baru-baru ini.

Turut hadir ketika sesi dialog ialah wakil Jabatan Bangunan, Kejuruteraan dan Pesuruhjaya Bangunan MPK, pemimpin setempat dan penduduk. Norfiza berkata, pihaknya terus memantau perkembangan semasa pangsapuri berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Selain kami, pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) turut menjalankan siasatan terperinci mengenai masalah yang dihadapi penduduk itu,” katanya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...