Saturday, March 5, 2011

3 Jemaah Umrah Malaysia Maut Bas Dirempuh Lori di Jeddah-Madinah

KUALA LUMPUR: Tiga jemaah umrah Malaysia maut selepas bas yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori di kilometer 180, Jeddah-Madinah, berhampiran Adyar, kira-kira jam 8 pagi kelmarin (1 petang waktu tempatan).

Mereka yang terbunuh dikenal pasti sebagai pasangan adik beradik, Hasni Arsid, 60 dan kakaknya Maired, 66, berasal dari Kota Kinabalu, Sabah serta Mohamad Timbang, 59, dari Lawas. Lebih menyedihkan, Hasni dan Mohamad Timbang dilaporkan terbunuh di hadapan anak, suami dan isteri masing-masing yang turut menyertai rombongan umrah itu. Seorang lagi yang terbunuh ialah seorang mutawif berasal dari Indonesia, Ustaz Suraji yang bertugas untuk menjaga hal-ehwal jemaah umrah terbabit.

Jenazah semua mangsa dibawa ke Hospital Jeddah untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sharaik, kira-kira jam 8 pagi semalam. Dalam kejadian itu, 68 rakyat Malaysia dari Sabah yang melakukan umrah menerusi Tabung Haji Travel dilaporkan baru tiba di Jeddah dan dalam perjalanan menaiki dua buah bas menuju Madinah.

Salah sebuah bas terbabit yang dinaiki 34 penumpang dikatakan cuba memotong sebuah kereta di kilometer 180, namun secara tiba-tiba gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh sebuah lori yang didakwa keluar dari sebuah simpang secara tiba-tiba.
Akibat rempuhan itu, bahagian hadapan bas remuk teruk hingga menyebabkan empat penumpang maut dan dua lagi cedera. Mangsa yang cedera dilaporkan selamat selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Jeddah termasuk seorang yang diterbangkan ke Hospital Besar King Abdul Aziz Jeddah.

Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Travel, Mejar Mohd Ramli Othman yang turut berada di lokasi kejadian ketika dihubungi di Jeddah, malam tadi berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi, Konsulat Jeneral Malaysia dan Konsul Tabung Haji yang membantu menguruskan jenazah mangsa

Sumber: www.bharian.com.my

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...