Wednesday, February 23, 2011

Tragedi Azizulhasni Awang Ibu Minta Kayu Jadikan Kenangan

KUALA TERENGGANU - Ibu kepada jaguh trek negara, Azizulhasni Awang, Selamiah Yong agak terkilan kerana tidak sempat berpesan kepada anaknya itu agar menyimpan serpihan kayu yang tertusuk betisnya untuk dijadikan kenangan. Menurut Selamiah, 47, beliau amat berharap supaya anaknya itu menyimpan serpihan kayu tersebut dan membawanya pulang ke rumah mereka di Kampung Nibong Stesyen, Dungun sekembalinya ke tanah air nanti.

Katanya, beliau masih menunggu panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada jaguh trek negara itu dan berharap serpihan kayu tersebut masih belum dibuang dan dijaga dengan elok. "Memang dia ada hubungi saya malam hari kejadian semasa dia mula dirawat di hospital di Manchester tetapi ketika itu saya tak terfikir tentang perkara tersebut (simpan serpihan kayu untuk kenangan).

"Saya teringin sangat nak tengok sendiri dengan lebih dekat bagaimana rupa kayu yang tertusuk betis kiri Azizulhasni, memang mengerikan dan kalau dia bawa kayu itu balik ke sini, saya akan simpannya sebagai kenangan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di rumahnya di Dungun semalam. Selamiah berkata, beliau kini masih menunggu perkembangan terbaru mengenai keadaan Azizulhasni yang ketika ini sudah berada di Melbourne, Australia setibanya dari Manchester.

Jelasnya, beliau sekeluarga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan anaknya itu, malah berharap jaguh basikal negara itu cepat sembuh seterusnya bersedia menyumbang bakti kepada negara. Azizulhasni selamat menjalani pembedahan di Hospital Diraja Manchester untuk mengeluarkan serpihan kayu yang tertusuk pada betis kirinya.

Dia sebelum itu terbabit dalam kemalangan dalam laluannya memenangi pingat gangsa Piala Dunia Klasik di Manchester. Biarpun menahan sakit selepas terjatuh, Azizulhasni tetap menyambung perlumbaan untuk menamatkan saingan dan meraih pingat gangsa, sekali gus mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Dunia Klasik

Sumber: www.utusan.com.my

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...