Thursday, January 6, 2011

Pelacur Warga Indon di Rumah Urut

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Walaupun menyedari melacur di hotel lima bintang lebih menguntungkan namun sekumpulan pelacur warga Indonesia sanggup mencari pelanggan di rumah urut dengan bayaran serendah RM40 bagi mengelak daripada dicekup kerana memasuki negara ini secara haram. Mereka yang memiliki MyKad palsu untuk mengaburi pihak berkuasa dikesan melacur di beberapa rumah urut yang beroperasi di Jalan Thambypillay, Brickfields, di sini.

Kegiatan pelacuran yang dikesan aktif sejak enam tahun lalu itu bagaimanapun berjaya dihidu oleh pihak berkuasa apabila sepasukan 30 anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan diketuai Timbalan Penolong Pengarahnya, G. Balamurugan menyerbu lima rumah urut di kawasan itu malam tadi.
Serbuan pada pukul 10.50 malam yang turut disertai oleh 10 kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu membawa kepada penangkapan 25 pelacur warga Indonesia. Sumber berkata, turut ditahan, seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai bapa ayam serta masing-masing seorang lelaki warga Indonesia dan Pakistan yang menjadi pelanggan.

"Penguat kuasa Imigresen menjalankan intipan selama seminggu sebelum bertindak menyerbu secara serentak lima rumah urut terletak sederet di Jalan Thambypillay.
"Dalam serbuan itu, kita berjaya menangkap 25 pelacur Indonesia termasuk 16 orang yang memiliki MyKad palsu berusia 18 hingga 45 tahun," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata, turut diberkas ialah seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun yang menjadi bapa ayam kepada pelacur terbabit serta dua pelanggan warga asing masing-masing berusia 35 dan 40 tahun. Menurut sumber itu lagi, siasatan mendapati pelacur warga Indonesia terbabit memasuki negara ini secara haram dan menggunakan MyKad untuk mengelak ditangkap. Beliau berkata, wanita terbabit sanggup melacur dengan bayaran RM40 dan tidak berani mencari pelanggan di tempat lain kerana bimbang ditangkap.

"Pemeriksaan di premis dua tingkat yang mendapati setiap rumah urut mempunyai 10 bilik dan mempunyai tangga rahsia untuk memudahkan pelacur melarikan diri apabila diserbu pihak berkuasa.
"Lelaki yang ingin menempah pelacur pula perlu berurusan dengan bapa ayam yang menunggu di depan premis sebelum dibawa ke bilik yang menempatkan pelacur ditempah mereka," ujarnya.

Beliau berkata, lelaki warga emas yang ditahan akan didakwa di bawah Akta Pemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) Seksyen 15 kerana kesalahan mendapatkan keuntungan daripada eksploitasi orang yang diperdagangkan. Katanya, dua lelaki warga asing yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 6(1)c kerana kesalahan memasuki dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah. Tambah beliau, 25 wanita Indonesia yang menjadi pelacur pula akan disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Sumber: www.utusan.com.my

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...