Sunday, December 5, 2010

Pinjaman Islamik Terbaru Dari Along

SUNGAI BULOH: Bosan dengan taktik promosi pinjaman lama, peminjam wang haram atau along kini beralih arah kepada sistem ‘Pinjaman Islamik’ bagi menambat kepercayaan pelanggan, sekali gus menjadikan mereka sebagai ‘bank segera’. Taktik terbaru itu dikesan di sekitar bandar ini apabila terdapat iklan dan risalah mengenai kegiatan terbabit ditampal di pokok dan papan tanda.


Modus operandi baru yang mengelirukan itu dikesan apabila iklan yang kononnya berbentuk pinjaman Islamik diberikan syarat pinjaman mudah dengan hanya menelefon nombor yang tertera dan akan menerima bayaran dengan cepat. Antara syarat yang ditetapkan along terbabit antaranya pinjaman itu terbuka kepada kakitangan awam, badan berkanun atau swasta, proses pinjaman adalah melalui bank serta kemudahan pinjaman sehingga RM250,000. Lebih menarik, mereka yang disenarai hitamkan bank turut layak membuat pinjaman.

Panggilan dilakukan Metroplus bagaikan dapat dihidu berikutan seorang lelaki dipercayai konco along terbabit yang menjawab pertanyaan meletakkan telefon selepas musykil dengan soalan yang banyak diajukan. Tinjauan mendapati, iklan haram yang ditampal pada pokok itu dilekat menggunakan kertas berwarna kuning yang ditutupi plastik dan tertera nombor telefon bimbit along terbabit. Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Yazit, 39, berkata bandar Sungai Buloh tidak terlepas menjadi mangsa pemasang iklan haram sehingga mencacatkan pemandangan kawasan berkenaan.

Katanya, tindakan melampau pengiklan yang mahu mengejar keuntungan tanpa menggunakan modal itu perlu dihentikan kerana ia bukan saja menyusahkan orang awam, malah menjatuhkan imej bandar berkenaan.
“Mereka bertopengkan sistem pinjaman Islamik supaya dapat mengaburi mata pelanggan dan mungkin juga pihak berkuasa. Banyak iklan pinjaman wang haram ini sudah luntur dakwatnya dan hampir terkoyak. Yazit berkata, kegiatan memasang iklan pinjaman haram terbabit semakin berleluasa kerana lebih banyak iklan ditampal setiap kali ia ditanggalkan pihak berkuasa.

“Jika ditanggalkan pada sebelah petang, keesokan paginya, pasti lebih banyak iklan ditampal di tempat sama,” katanya. Pelajar sebuah kolej swasta, Zaharah Nordin Zakaria, 24, pula berpendapat masyarakat perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membolehkan mereka bertindak segera. “Orang ramai perlu mengadu dan jika sudah mengadu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) masih tak ambil peduli, sekurang-kurangnya kita sudah tunaikan tanggungjawab sebaik mungkin. “Hal selebihnya terpulang kepada PBT untuk melaksanakan peranan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata sebanyak 35,000 iklan haram sudah diturunkan MBSA sejak Januari hingga Oktober lalu. “Di Sungai Buloh saja, kami menurunkan 4,500 iklan haram seperti iklan lelongan bank, khidmat perubatan tradisional, pinjaman wang dan ubah suai rumah melalui beberapa operasi secara berkala yang dilakukan pejabat cawangan MBSA kami di sana.

“Perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan banyak masalah seperti mengganggu dan menghalang pandangan jika iklan di tampal di papan tanda jalan. Oleh sebab itu kami akan terus memerangi kegiatan ini,” katanya. Menurutnya, pihak yang menggantung aktiviti itu boleh dikenakan tindakan Undang-Undang Kecil Iklan MBSA 2007.Justeru itu, beliau meminta kerjasama masyarakat supaya tidak membuat tampalan iklan sesuka hati mereka tetapi sebaiknya memohon permit dari jabatan pelesenan sebelum menggantung iklan atau kain rentang yang mempromosikan produk mereka

sumber: www.utusan.com.my

1 comments:

Fyzal said...

along bagi pinjaman islamik?? hahaha.. macam tu pun ada.. igt orang nak percaya ke.. haishhh .. dunia dunia..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...