Thursday, December 2, 2010

Piala AFF Suzuki 2010 Malaysia Tunduk 5-1 Kepada Indonesia

KUALA LUMPUR - Lawan terlalu hebat atau kalah atas kesilapan sendiri? Apa jua jawapannya, para peminat bola sepak Malaysia harus menelan kepahitan apabila maruah skuad negara dicarik-carik di bumi Jakarta apabila dibelasah 1-5 oleh Indonesia pada perlawanan pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.
Malah risiko jurulatih, K. Rajagobal menurunkan Sharbinee Allawee selaku penjaga gol utama negara mengenepikan Khairul Fahmi Che Mat serta menggunakan khidmat dua pertahanan Harimau Muda, Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas di dalam kesebelasan utama jelas memakan diri sendiri.
Itulah yang terjadi sebaik wisel permainan dimulakan apabila tuan rumah yang bersemangat mahu memburu kemenangan awal-awal lagi sudah memberi amaran melalui gerakan awang import Uruguay, Cristian Gonzales dan Irfan Bachdim.
Indonesia hampir di hadapan pada minit ke-2 melalui Gonzales yang berjaya melepaskan percubaan tepat ke arah pintu gol Malaysia, namun mujur Sharbinee Allawee tangkas menafikan hajat tuan rumah untuk mendapatkan gol awal.
Bagaimanapun, Harimau Malaya terlebih dahulu mengambil giliran mengejutkan tuan rumah melalui gol pendahuluan pada minit ke-18 menerusi gerakan mantap yang dipamerkan oleh Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.
Melalui dari arah sebelah kiri, Safee bijak meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Indonesia untuk melorongkan bola kepada Norshahrul Idlan Talaha yang tidak dikawal bagi meletakkan Malaysia di hadapan.
Walaupun begitu, gol itu yang diharapkan mampu menyuntik semangat perjuangan Malaysia ternyata meleset sebaliknya membuatkan lawan bangkit memberikan tentangan dan hasilnya skuad Garuda berjaya memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-22.
Hantaran lintang daripada sebelah kiri berjaya disambung oleh Irfan sebelum bola tersebut melantun mengenai Sharbinee dan Asraruddin Putra Omar tersepak masuk ke dalam gawang sendiri.
Episod malang Malaysia berterusan 10 minit kemudian, kali ini giliran Gonzales yang mudah melepasi kawalan pemain negara, Mohd. Muslim Ahmad sebelum melakukan rembatan mengelirukan Sharbinee bagi meletakkan Indonesia di hadapan buat kali pertama dalam perlawanan.
Kedudukan 2-1 kekal di separuh masa pertama sebelum Indonesia terus mengganas pada baki 45 minit permainan dan anak-anak buah K. Rajagobal kian layu pada saingan babak kedua.
Ketika kebangkitan diharapkan, Indonesia terus mengendurkan semangat pemain Malaysia menerusi gerakan menarik pemain bek kanan, Muhammad Ridwan yang bijak melepasi kawalan Muslim dan Fadhli sebelum tenang menewaskan Sharbinee yang keseorangan di pintu gol.
Terdesak melihat kedudukan semakin kritikal, Rajagobal memasukkan Ashari Samsudin dan Amar Rohidan menggantikan Amri Yahyah dan Mohd. Razman Roslan pada minit ke-63 tetapi ia tidak mengubah banyak corak permainan Malaysia.
Asrarudin yang dilihat antara pemain paling banyak melakukan kesilapan di kubu negara bermurah hati memberikan gol keempat kepada Indonesia selepas gagal mengeluarkan bola bahaya di dalam kotak penalti dan Arif Suryono pantas menyambar peluang terhidang bagi membunuh api perjuangan pemain Harimau Malaya.
Pemain berdarah kacukan Belanda dan Indonesia, Irfan Bachdim memulakan pesta gemilang buat penyokong Indonesia dengan gol kelima pada masa kecederaan hasil hantaran bola lintang berbahaya Oktovianus Maniani bagi menyimpulkan malam derita buat bola sepak Malaysia.

Sumber: utusan.com.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...