Tuesday, November 9, 2010

Keng Yaik Ikut Jejak Dr Mahathir Kritik Pengganti

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Kritikan terbuka bekas Presiden Gerakan, Tun Dr. Lim Keng Yaik terhadap penggantinya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menimbulkan rasa tidak puas hati daripada seorang perwakilan sewaktu sesi perbahasan ucapan dasar Presiden. Perwakilan Kedah, Tang Hiang Lye yang membidas tindakan itu turut mendesak Keng Yaik supaya berhenti membuat komen sedemikian terhadap kepimpinan parti.

Kritikan itu, katanya, bukan sahaja menyebabkan masyarakat tidak selesa malah ahli parti itu turut berasa malu dengan apa yang berlaku. "Walaupun anda (Keng Yaik) menyumbang banyak terhadap parti ini, tapi ia tidak bermakna anda boleh memberikan kenyataan yang melampau kerana komen berkenaan akan menggugat keharmonian Gerakan.

"Oleh itu, sila berhenti daripada memberikan sebarang kenyataan anda (Keng Yaik) kerana ia hanya menyebabkan wujudnya kebencian orang ramai terhadap kami selain membuatkan kami berasa malu," katanya. Beliau membuat teguran itu sewaktu membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2010, di sini hari ini.

Pada 4 Oktober lalu, Keng Yaik mengumumkan peletakan jawatannya sebagai penasihat parti itu kerana tidak berpuas hati dengan sikap presidennya yang takut melibatkan diri dalam sebarang konflik. Keng Yaik berkata, beliau kecewa dengan cara presiden parti itu menangani konflik yang melanda parti berkenaan.

Menurutnya, Tsu Koon ialah seorang yang tidak suka campur tangan dalam menyelesaikan konflik kerana bimbang akan menyentuh perasaan orang lain. Dalam perkembangan berkaitan, Hiang Lye berkata, masa depan Gerakan yang cerah tidak hanya terletak pada bahu Tsu Koon semata-mata sebaliknya semua ahli perlu mengambil tanggungjawab untuk melakukan transformasi.

"Semua pemimpin pusat sepatutnya memikul tanggungjawab bersama ketika parti menghadapi masalah dan tidak wajar hanya Tsu Koon seorang disalahkan," katanya

Sumber: UTUSAN

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...