Tuesday, November 9, 2010

Erma Fatima Berhenti Mengarah Natrah Kerana Kritikan Fatini

KUALA LUMPUR: “Saya akan meletak jawatan daripada mengarah teater Natrah untuk musim kedua ini secara rasminya. Memang berat untuk membuat keputusan namun itulah hakikatnya,” kata aktivis teater, Erma Fatima yang begitu kecewa dan marah dengan kenyataan penulis biografi Natrah, Fatini Yaacob yang tidak henti menghentam kerja arahannya sejak Natrah musim pertama.

Terdahulu, Fatini dikatakan membuat kenyataan yang dia tidak senang dengan garapan pengarah terkenal itu apabila memaparkan salib besar dalam beberapa babak hingga menyentuh sensitiviti penonton tempatan. Malah, Fatini didakwa beberapa kali mengeluarkan kenyataan sama seolah-olah mempertikaikan hasil kerja sentuhan Erma.

Natrah 2 yang bakal dipentaskan bermula 25 November hingga 5 Disember ini bagaimanapun sedang menjalani proses latihan setiap hari di Istana Budaya oleh semua pelakonnya.
Namun, Erma ketika ditemui di kediamannya di Hulu Klang, menegaskan berkali-kali tindakan Fatini bagai menyembunyi sesuatu dan sengaja ingin menjatuhkannya kerana baru kini dia bersuara semula mempersoalkan ini dan itu tatkala produksi sedang sibuk ke fasa akhir sebelum pementasan.

“Sakit hati dengan dakwaan dan kenyataan daripadanya (Fatini). Mengapa dia tidak sudah-sudah mempersoalkan hasil kerja saya sejak pementasan siri yang pertama tahun lalu. Kononnya saya tidak sepatutnya meletak salib besar dalam pementasan sedangkan fungsi dan simboliknya benda itu langsung tidak pernah dia tahu.

“Ini bukan pertama kali. Sejak Natrah pertama lagi saya sudah pekak mendengar kritikannya. Bukan setakat soal salib saja yang dipersoal, malah ada beberapa babak yang ingin diubah termasuk monolog yang saya rasakan tidak bersesuaian. Itu puncanya.

“Saya pengarah dan penggiat teater, justeru, saya lebih tahu mana yang indah dan mana yang tampak janggal jika dipersembahkan. Wujudnya salib dalam pementasan itu adalah satu simbolik yang penuh pengertian di sebaliknya. Mengapa terus memandang negatif dan tidak melihat setiap satu yang diselitkan dalam sesebuah pementasan ada cerita yang ingin disampaikan. “Usah pertikaikan kerja saya kerana dia hanya penulis biografi yang selama ini dijadikan bahan rujukan. Dia bukannya penulis skrip atau penulis cerita asal Natrah hingga mampu mempersoalkan lapangan yang langsung tiada kena mengena dengannya. Penulisan dan pengarahan adalah dua perkara berbeza dan tidak perlu kita terjah ke satu bidang yang kesahihan dan kebenaran tidak pernah diketahui.

“Bayangkanlah jika usaha dan kejujuran saya dalam menterjemahkan naskhah Natrah ini tidak henti dikritik dan diperkatanya. Saya tidak mahu ada pihak sengaja menumpang publisiti atau mengambil peluang menyelitkan namanya dalam kerja saya seperti dilakukannya sekarang. Hanya ingin melariskan buku biografinya, pelbagai agenda mula dilakukan termasuk mengkritik karya sentuhan saya,” katanya.

Erma sebelum ini menerima pujian selepas kejayaan Natrah pertama tidak mampu lagi menyembunyikan rasa marahnya hingga sanggup melepaskan satu tanggungjawab besar untuk terus menyusun plot dan penceritaan naskhah Natrah. Malah, Erma turut mencabar Fatini menyambung tugasnya sebagai pengarah jika benar ideanya jauh lebih hebat dan bersesuaian.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...