Sunday, November 7, 2010

Banjir di Kedah, Perlis dan Kelantan Pulih

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Keadaan banjir di Kedah, Perlis dan Kelantan beransur pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan semakin kurang manakala beberapa sekolah yang ditutup diarah dibuka semula esok. Di KEDAH, mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di negeri itu berkurangan kepada 33,121 orang berbanding 39,743 petang semalam. Keadaan banjir di daerah Padang Terap pulih dengan kesemua 3,993 mangsa daripada 1,015 keluarga sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Bilangan mangsa di daerah Kubang Pasu pula mencatatkan penurunan dengan 11,488 orang daripada 3,170 keluarga masih berada di pusat penempatan berbanding 21,111 orang semalam.

Penurunan jumlah mangsa banjir turut dicatatkan di Pokok Sena iaitu seramai 1,413 mangsa daripada 234 keluarga dan Pendang seramai 242 mangsa daripada 62 keluarga dibenarkan pulang. Bagaimanapun di daerah Kota Setar, mangsa dipindahkan meningkat 758 keluarga menjadikan jumlah semua yang dipindahkan sebanyak 4,805 keluarga. Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, hampir 80 peratus bandar raya ini masih digenangi air dengan beberapa batang jalan ditutup termasuk Jalan Stadium, Jalan Sultan Badlishah, Jalan Teluk Wanjah dan Lebuh Raya Darulaman sementara dua jalan boleh dilalui iaitu Jalan Raja dari arah selatan manakala Jalan Langgar dari utara. Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata, setakat ini sebanyak 90 pusat penempatan mangsa banjir di seluruh negeri beroperasi berbanding 100 semalam.

Di PERLIS, banjir di negeri itu kian surut dengan jalan utama ke bandar Kangar mulai dibuka kepada kenderaan ringan. Sehingga tengah hari ini, sebanyak 9,595 mangsa daripada 1,316 keluarga masih berada di 38 pusat pemindahan banjir. Daripada jumlah tersebut, 34 buah pusat pemindahan di Kangar dan empat lagi di Arau masih dibuka sementara tujuh pusat pemindahan di Padang Besar pula sudah ditutup. Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati kebanyakan premis perniagaan di daerah tersebut dan di Kangar telah membuka bisnes kepada orang ramai. Orang ramai juga dilihat mula membersihkan rumah dan premis masing-masing berikutan air yang sudah mulai surut. Bagaimanapun beberapa kawasan rendah seperti Institut Latihan Perindustrian di Jalan Behor Pulai masih dinaiki air kira-kira satu meter.

Di KELANTAN, kesemua 13 buah sekolah di Pasir Mas dan Tumpat yang ditutup Rabu lalu akan dibuka semula esok selepas bencana alam yang melanda daerah tersebut pulih sejak semalam. Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Hussein Awang berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pengurusan sekolah terbabit bagi memastikan pelajar meneruskan semula persekolahan mereka seperti biasa. Beliau berkata, seramai 7,000 pelajar terjejas selepas sekolah yang terletak di pinggir Sungai Golok itu ditenggelami air sedalam 0.5 sehingga tiga meter. ‘‘Kerja-kerja pembersihan bangunan sekolah itu telah dilakukan oleh pihak sekolah dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPAM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi memastikan pelajar dapat belajar seperti biasa bermula esok.

“Kita harap kesemua pelajar ini akan dapat kembali ke sekolah seperti biasa terutama bagi calon yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Sebanyak 13 buah sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang (I), SK Sri Rantau Panjang (II), SK Rantau Panjang, SK Lubok Setol, SK Kok Pauh, SK Rahmat, SK Gual Sito dan SK Gual Tok Deh. Sekolah lain adalah SMK Rantau Panjang, SRJKC Khay Boon, SK Bakong, SK Chenderong Batu dan SK Bendang Pak Yong.
 
Sumber: UTUSAN

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...