Tuesday, October 19, 2010

Janin Bayi Disangka Bangkai Haiwan

KOTA KINABALU 18 Okt. - Penduduk di Pekan Lama Inanam di sini gempar seketika apabila seketul daging yang disangka bangkai haiwan, rupa-rupanya janin bayi yang ditemui di tanah lapang berhampiran sebuah stesen minyak, malam semalam. Rentetan penemuan itu bermula apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun curiga dengan tindakan sepasang kekasih yang membawa beg ke kawasan lapang berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, remaja berkenaan ternampak wanita terbabit menggali tanah sementara teman lelakinya memerhati keadaan sekeliling sebelum kedua-duanya bergegas meninggalkan tempat kejadian. Menurutnya, curiga dengan tindakan pasangan itu, remaja berkenaan kemudian menghampiri kawasan tanah lapang itu dan melihat ada kesan tanah yang baru digali. Ahmad Sofi berkata, remaja itu kemudian menggali semula tanah tersebut sebelum menemui sebuah beg yang pada mulanya disangka wang tunai lalu dia membawa beg itu pulang ke rumah.

"Remaja tersebut bersama adiknya membuka beg itu dan menemui sebungkus beg plastik yang mengandungi satu ketulan daging yang menyerupai bangkai.
"Namun setelah diamati, ia adalah janin bayi dan remaja itu kemudian memaklumkan kepada keluarganya. Bapa remaja tersebut bertindak melaporkan penemuan janin itu kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Sofi berkata, siasatan awal mendapati janin itu dipercayai baru dilahirkan dan ditanam di kawasan lapang tersebut. Bagaimanapun, katanya, polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui sama ada janin itu digugurkan secara paksa atau sebaliknya sebelum ia ditanam. Tambahnya, janin tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana hospital, klinik swasta atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 088-242111 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...