Tuesday, October 5, 2010

Emas Pertama Malaysia di Sukan Komanwel New Delhi 2010

NEW DELHI - Amirul Hamizan Ibrahim memastikan kontinjen Malaysia bermula baik pada hari pertama Sukan Komanwel, semalam apabila memberikan pingat pertama menerusi acara angkat berat. Lebih membanggakan, emas pertama itu diiringi rekod baru kejohanan dalam acara snatch, apabila dia melakukan angkatan 116 kilogram. Pingat tunggal tersebut pastinya memberi semangat kepada buruan lebih banyak pingat dalam beberapa acara final hari ini.
Kejayaan Amirul disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di venue kejohanan Kompleks Sukan Jawaharlal Nehru. Ahmad Shabery memuji kejayaan Amirul, dengan menyifatkan ia sebagai kebangkitan oleh atlet itu setelah terlepas aksi Sukan Komanwel Melbourne, kerana digantung akibat positif dadah. Selain itu, kejayaan skuad hoki wanita negara yang mengalahkan Kanada 3-2, mendapat pujian Ahmad Shabery.
Kejayaan anak buah Yahaya Atan begitu membanggakan, selepas mereka menjadi skuad belasahan pada temasya di Manchester. Ahmad Shabery berkata, jika dahulu kita hanya menjadi mangsa pasukan ternama, semalam, sebaliknya pula terjadi apabila kita mengalahkan Kanada.

''Saya harap prestasi hari pertama atlet kita terutama sukan hoki wanita, juga atlet-atlet yang lain yang melepasi halangan awal, akan terus cemerlang selepas ini," katanya.

Norbaini Hashim memastikan skuad hoki wanita negara bermula cemerlang pada temasya di sini, apabila memastikan kemenangan 3-2 ke atas Kanada dalam saingan Kumpulan B. Kemenangan tersebut amat membangga kerana di atas kertas, skuad negara diramal sukar untuk menewaskan Kanada, yang menduduki ranking ke-19 dunia. Skuad kebangsaan berada pada ranking ke-22 dunia.
 
Sumber - Utusan

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...